Thursday, January 12, 2012

JGN MARAHKN AYH

Assalammualaikum. Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Terkenang Hana akan dirinya ketika Darjah 6. Tubuh kecil tetapi suaranya besar. Sekali meraung, bergema rumah. Hana suka menjerit, dia juga seorang yang panas baran. Salah sedikit, Hana pasti melenting. Bila Hana ingat balik, Allahu akbar, menyesal rasanya tetapi kita yang dahulu tidak penting tetapi apa yang kita mahu jadi untuk masa akan datang itulah yang penting.

Hana dan jirannya sering menunggu ayahnya menjemput mereka di bawah jejantas yang berdepan dengan sekolah mereka. Jiran Hana sering tumpang dia untuk balik ke rumah membuatkan mereka rapat walaupun umurnya lebih tua daripada Hana. Mereka sering bermain bersama di kala petang, sama ada pergi taman permainan, berbasikal, atau berjalan-jalan di taman perumahan.

Kebiasaannya, ayah akan jemput dalam pukul 2 petang. Suatu hari, ayah jemput sangat lambat. Oleh sebab Hana seorang yang panas baran, dalam hatinya mula bercambah, memutikkan rasa kebencian dan marah. Kelihatan kereta ayahnya daripada jauh, berwarna silver. Hana mula hendak melenting. Masuk sahaja dalam kereta,

"Kenapa lambat?! Ingat Hana tunggul ke??"

Terbitnya kata-kata dalam kekasaran kepada ayahnya. Oleh sebab ayahnya seorang yang pendiam, ayahnya hanya berdiam diri. Ketika itu, ibunya pun ada di dalam kereta. Hana langsung tidak peduli jirannya yang ada di sebelah. Dia begitu marahkan ayahnya kerana lambat menjemputnya apetah lagi dia seorang yang tidak suka menunggu.

"Hana, tak baik cakap camtu kat ayah."

Hana hanya menjeling, tidak peduli dengan kata-kata ibunya. Dia marah dan masih marah. Apabila sampai di rumah, Hana baling begnya di atas dan berdengus.

"Ahh!!! Lambat betul! Aku dah la tak suka menunggu, lambat pulak orang tua ni. Ingat aku tunggul ke??"

*****

Ketika di Hana masuk sekolah berasrama penuh, dia mula belajar erti menghargai ibu bapa. Oleh sebab Hana seorang anak bongsu, dia rasa sedih ingin berpisah dengan ibu dan ayahnya.



Hana: Ibu, Hana tak nak tinggal sini. Hana tak nak pisah dengan ibu dengan ayah.

Ibu: Hana kena tinggal sini. Hana kena belajar. Nanti dah besar dapat kerja, sara ibu dan ayah ye.

Hana menangis tatkala melihat pemergian ibu dan ayahnya sehingga kabur daripada mata. Selama 5 bulan, dia cuba menahan diri untuk menyesuaikan diri dengan suasana sekolah berasrama penuh yang padat jadualnya. Hana tidak dapat tahan dengan suasana dengan jadual yang padat. Ada prep, solat jemaah, rasa tidak bebas kehidupannya di asrama. Segalanya terbatas.

Hana selalu telefon ibunya agar pindahkan dia ke sekolah lain. Dia tidak mahu meneruskan perjuangan untuk berjihad demi ilmu di sekolah itu. Pada suatu hari, apabila Hana menelefon ibunya untuk menyatakan hasrat yang sama, tiba-tiba ibunya menangis kerana ibunya tidak dapat menahan sebak kerana masalah Hana yang asyik mahu berpindah sekolah.

Hana: Assalammualaikum.

Ibu: Waalaikummussalam

Hana: Ibu.. (dalam sebak, mula mengalir air matanya) Hana nak pindah. Tolonglah ibu, Hana tak nak tinggal sini. Hana nak pindah sekolah lain. (tangisan dilepaskan)

Ibu: (terdengar sedikit demi sedikit tangisan ibu yang mula deras) Hana, Hana janganlah macam ni. Ibu risau tahu tak? Hana tinggallah di situ. Cuba sesuaikan diri. Ibu tak de duit lagi Hana nak support Hana pindah sekolah lain. Hana janganlah macam ini.

Hana: (tersentak dengan tangisan ibunya, lantas tangisannya lebih deras) Tapi, ibu, Hana tak kuat. Hana tak dapat sesuaikan diri. Tolonglah ibu. (tangisan semakin deras, Hana menangis teresak-esak)

Ibu: (dalam tangisan) Hana, Hana tak boleh macam ini. Hana kena kuat. Ibu selalu doakan Hana agar Hana dapat belajar dengan baik di sana. Kita bukan orang kaya nak. Kita kena sedar akan situasi diri. Kalau Hana sayangkan ibu, Hana kena usaha sesuaikan diri. Kuatkan diri. Hana harus kuat! Ibu tak boleh tengok Hana macam ni. Ibu sakit kepala fikirkan tentang Hana di sana. Ibu risau Hana macam ini.

Hana: (terkesan dengan tangisan ibu) Hmm. Baiklah ibu, Hana akan berusaha sesuaikan diri demi ibu. Hana minta maaf sebab Hana susahkan hati ibu. Hana minta maaf buat ibu nangis. Hana akan berusaha sesuaikan diri di sini. Baiklah, Hana pergi dahulu. Jaga diri ibu. Assalammualaikum.

Hana menangis teresak-esak tatkala ganggang telefon diletak. Dia menyesal dan rasa bersalah kerana buat ibunya menangis. Oleh sebab Hana berasa sebak dengan tangisan ibunya, dia berusaha menyesuaikan diri dengan sekolah itu. Alhamdulillah, Hana berjaya menamatkan pelajarannya di sekolah itu.

Pada pertengahan tahun ketika Hana berada di Tingkatan 5, satu program motivasi yang melibatkan ibu bapa dianjurkan oleh Kelab JIM selama 3 hari daripada hari Jumaat hingga Ahad. Program ini menekankan kesedaran dan keinsafan terhadap Allah, Rasulullah dan ibu bapa. Selama 2 hari dalam program itu, para pelajar semakin terbuka hati sehingga mereka menangis teresak-esak atas kesedaran dan keinsafan tentang Allah, Rasulullah dan ibu bapa mereka. Begitu juga dengan Hana. Apabila teringat sikap dia pada ayahnya ketika Darjah 6 dahulu, dia menangis teresak-esak tidak dapat menahan sebak atas kesilapannya pada ayahnya.

Pada hari Ahad, ibu bapa akan dipertemukan dengan anak mereka bagi acara kemuncak di mana ketika itulah, si anak akan mengekspresikan kasih sayang mereka pada ibu bapa mereka dan sebaliknya. Apabila Hana bertemu dengan ibu dan ayahnya, Hana menangis teresak-esak di bahu ibu dan ayahnya. Apabila motivator memberi ilusi kepada si anak jika ibu dan ayahnya telah pergi, Hana menangis teresak-esak. Motivator juga membuat aktiviti di mana si anak perlu salam dan cium tangan ibu dan ayah selama mungkin untuk merasai dan menghayati kasih sayang mereka. Apabila tibanya waktu Hana salam dan cium tangan ayahnya, Hana tidak henti-henti menangis sebak dengan kekhilafannya ketika kecil dahulu.

Dia salam dan mencium tangan ayahnya selama mungkin dan memeluk ayahnya sekuat mungkin. Ayahnya turut menangis dan memeluk Hana. Bertautnya kasih sayang si ayah terhadap seorang anak yang tidak pernah diluahkannya. Pada ketika itu, Hana sangat dapat merasakan kasih sayang ayahnya terhadap dirinya. Hana meminta maaf tentang kesalahannya yang dahulu, yang suka marah ayah. Ketika itulah bertautnya kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya. Hana insaf dan mula perbaiki diri agar tidak memarahi ayah lagi. Tiap kali pulang daripada universiti, Hana akan mencium tangan ayahnya dan meminta maaf di kala dia ingin pulang ke kampus.

Sungguh, walau ungkapan sayang daripada ayah itu tidak selalu tetapi ketahuilah ayahmu sayang padamu. Jangan pernah marahkan ayah.

No comments:

Post a Comment